PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan bersama wakil kerajaan negeri Kelantan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu menghapuskan pangkalan haram yang berisiko menjadi laluan penyeludupan.
Saifuddin berkata, beliau sendiri telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan dua minggu lalu, dalam mencari solusi terbaik menghapuskan pangkalan haram.
“Satu pembentangan telah dibuat oleh agensi perisikan keselamatan, bukan sahaja membentangkan tentang permasalahan dan ancaman malah mereka juga mencadangkan jalan keluar antaranya masalah kewujudan pangkalan haram terutama di kawasan sempadan utara negara kita dengan negara jiran iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan.
“Dalam pembentangan ini juga telah diangkat syor supaya Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat satu usaha bersama untuk lupuskan dahulu pangkalan haram,” katanya kepada pemberita dalam majlis ringkas di kediamannya di sini, malam tadi.
Beliau berkata, dalam masa terdekat ini beliau akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan kerajaan negeri terbabit kerana isu keselamatan adalah kepentingan bersama.
“Saya akan mulakan cadangan ini untuk berada di Kelantan dahulu sebab kewujudan pangkalan haram ini juga ada di sepanjang Sungai Golok, di sebelah kita.
“Itu antara tujuan pertemuan saya nanti dengan kerajaan negeri iaitu Menteri Besar (Kelantan). Pada masa ini saya belum utus apa-apa surat lagi,” katanya.
Beliau berkata perkara itu akan dibentangkan berdasarkan maklumat yang ada.
“Jadi, kita akan bentangkan sebab maklumat ada pada kita, di mana kerajaan negeri boleh bantu terutama dari segi kalau pangkalan itu didirikan di rizab JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) umpamanya atau pun tanah milik kerajaan negeri dan bidang kuasa PBT.
“Saya akan kongsikan keadaan itu dan akhir sekali langkah melupuskan pangkalan haram adalah prasyarat bagi membendung gejala penyeludupan. Kita ke arah itu,” katanya.
Mengulas mengenai adakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan negara jiran berhubung tindakan terbabit, Saifuddin menjelaskan, perjanjian kerjasama keselamatan sempadan sememangnya telah wujud sejak sekian lama.
“Memang sentiasa wujud, jadi keutamaan sekarang adalah menyelesaikan bahagian kita dahulu tapi kita tak boleh selesaikan secara satu pihak dan kerana itu kerjasama negara sahabat diperlukan,” katanya.
Sumber: Berita Harian