KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah ketegangan teknologi yang semakin meningkat antara ekonomi besar dunia, Malaysia berikrar untuk kekal berkecuali tanpa berpihak kepada mana-mana kuasa. Menteri Perdagangan, Pelaburan & Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan Malaysia sebagai destinasi mesra perdagangan dan selamat untuk pelaburan.
“Dalam ‘perang dingin’ yang juga dikenali sebagai perang teknologi ini, kita perlu fokus kepada kekuatan Malaysia. Seperti yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri, kita adalah negara berkecuali yang berkawan dengan semua,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam situasi ini, Malaysia perlu berhati-hati. “Tekanan melalui tarif dan bentuk lain wujud, tetapi setiap tindakan harus objektif dan menguntungkan rakyat serta ekonomi negara,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Tambahnya, Malaysia harus terus mengekalkan pendirian bebas dan tegas sebagai negara berdaulat yang tidak condong ke arah mana-mana kuasa geopolitik utama. Kedudukan Malaysia sebagai negara penengah tercermin melalui penyertaannya dalam pelbagai blok kerjasama ekonomi yang komprehensif.
“Kita mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan banyak negara dan baru sahaja menjadi rakan kepada BRICS. Pada masa yang sama, kita juga merupakan anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), ASEAN dan lain-lain,” ujar Tengku Zafrul.