Menurut Indeks Keamanan Global 2024 (GPI) yang diterbitkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP), Malaysia telah naik sembilan anak tangga untuk mencapai tempat ke-10 sebagai salah satu negara paling aman di dunia.
Prestasi ini terjadi di tengah-tengah penurunan rata-rata keamanan global sebanyak 0.56 peratus yang merupakan penurunan selama lima tahun berturut-turut.
Pada laporan GPI 2023, Malaysia berada di tempat ke-19 sebelum naik ke kedudukan terkini.
Berbanding negara jiran, Singapura diletak sebagai negara kelima paling aman di dunia manakala Indonesia di tempat ke-48 diikuti Laos (49), Kemboja (70) dan Thailand (75).
Laporan itu turut menyatakan bahawa Malaysia juga disenarai sebagai antara lima negara paling aman dalam domain konflik berterusan dan ketiga terbaik dalam domain ketenteraan.
Selain itu, Asia Pasifik mencatatkan sedikit kemerosotan dari segi keamanan dalam GPI 2024 dengan skor keseluruhan merosot sebanyak 0.1 peratus, bagaimanapun ia kekal sebagai rantau kedua paling aman di dunia sejak 2017.
Malaysia disenaraikan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia Pasifik manakala New Zealand di tempat pertama diikuti Singapura di tempat kedua.
GPI 2024 juga mendapati dunia semakin tidak aman sejak 16 tahun lepas dengan skor purata negara merosot sebanyak 4.5 peratus selepas indeks itu dimulakan pada 2008.
Menurut indeks itu, Iceland kekal sebagai negara paling aman di dunia diikuti Ireland (di tangga kedua), Austria (ketiga), New Zealand (keempat) dan Singapura manakala Yaman direkodkan sebagai negara paling tidak aman di dunia bersama-sama Sudan (162), Sudah Selatan (161), Afghanistan (160) dan Ukraine (159).
Daripada 163 negara dalam GPI, 95 mencatatkan kemerosotan, 66 menyaksikan peningkatan manakala dua merekodkan tiada perubahan. Tujuh belas daripada 23 petunjuk GPI merosot antara tahun 2008 dan 2023 manakala tujuh bertambah baik.
GPI merupakan pengukur utama keamanan global yang membentangkan analisis berdasarkan data paling komprehensif hingga kini mengenai trend keamanan, nilai ekonomi dan pembangunan masyarakat yang harmoni.
Edisi ke-18 GPI ini menilai 163 negara merdeka berdasarkan tingkat keamanan mereka yang meliputi 99.7 peratus dari populasi dunia.
Sumber: BERNAMA