
Malaysia menggesa Myanmar agar terus bersungguh-sungguh dalam menangani masalah dalam negara tersebut yang kini telah menjadi isu di rantau ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui pada tahun 2021 mesti dihormati oleh Myanmar dan langkah segera perlu diambil untuk memulihkan konflik yang berterusan hingga kini.
‘’Malaysia mencadangkan supaya Myanmar perlu serius dalam usaha untuk mereka menangani masalah dalam negara mereka dan masalah dalam negara Myanmar ini tidak lagi masalah dalaman mereka tetapi telah menjadi masalah negara serantau khususnya Malaysia.
‘’Ini kerana Malaysia sebagai negara yang terkesan terus daripada isu ataupun masalah yang terjadi di Myanmar.
‘’Umpamanya, pelarian Rohingya (lari ke Malaysia) yang mana mereka dihalau dari kampung halaman… banyak yang mereka telah dibunuh, kekejaman tentera junta dan juga puak-puak pelampau di Myanmar (menyebabkan mereka melarikan diri),’’ katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa bertemu dengan delegasi media Malaysia di Vientiane, Laos sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN kali ke-57 pada hari Khamis.
Pada hari Rabu, Mohamad berkata isu yang sama telah dibangkitkan semasa Informal Consultation (Current, Previous and Incoming Chairs of ASEAN) yang melibatkan tiga negara iaitu Indonesia, Laos dan Malaysia.
Hal ini disebabkan oleh kebimbangan negara anggota kerana semua resolusi yang terkandung dalam Konsensus Lima Perkara tersebut masih belum direalisasikan.
‘’Myanmar perlu hormati Konsensus Lima Perkara yang telah pun dipersetujui oleh mereka sama.
‘’Mereka bersama-sama sendiri bersama dengan kepimpinan ASEAN yang telah menandatangani perjanjian Konsensus Lima Perkara ini.
‘’Jadi kita mahu Myanmar menghormati lima perkara dalam konsensus dan segera memulihkan keadaan dalam negara mereka,’’ ujarnya lagi.
Melalui persetujuan negara anggota blok ASEAN pada tahun 2021 di Jakarta, Indonesia antara agenda utama dalam Konsensus Lima Perkara mengenai krisis di Myanmar adalah menghentikan keganasan dan mengadakan dialog yang membina di kalangan semua pihak berkepentingan.
Selain itu, tiga perkara lain adalah ASEAN memberikan bantuan kepada Myanmar, melantik duta khas ASEAN untuk menjalankan perbincangan dan membenarkan utusan melawat negara tersebut.
