Jenayah

Kakitangan Bank Kuala Kangsar Terlibat Penyelewengan RM2 Juta

Datuk Seri Ramli berkata, wang tersebut dikeluarkan dari tiga akaun simpanan tetap pelanggan melalui 108 transaksi yang dilakukan dari 14 Februari 2023 hingga 24 Jun lalu.

Seorang kakitangan bank wanita di Kuala Kangsar, Perak yang meninggal dunia pada 5 Julai lalu sempat memindahkan wang simpanan tetap milik pelanggan yang dipercayai dicurinya berjumlah lebih RM2 juta ke 11 akaun berbeza.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wang tersebut dikeluarkan daripada tiga akaun simpanan tetap pelanggan melibatkan 108 transaksi sejak 14 Februari 2023 hingga 24 Jun lalu.

“Wang tersebut dipindahkan ke 11 akaun milik kenalan, saudara selain syarikat dan didapati telah digunakan mereka.

“Siasatan masih dijalankan termasuk terhadap pemilik akaun terbabit mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Jumaat.

Pada 12 Julai telah dilaporkan bahawa kehilangan wang yang didalangi oleh kakitangan bank berusia 37 tahun itu terbongkar selepas menerima satu laporan pada 9 Julai lalu.

Kegiatan kakitangan tersebut hanya terbongkar apabila dua pemilik akaun simpanan tetap datang ke bank untuk membuat pengeluaran wang dari akaun simpanan tetap mereka pada 27 Jun lalu.

Setelah semakan dilakukan, didapati sebahagian daripada sijil akaun simpanan tetap milik mereka telah ditutup.

Berdasarkan siasatan oleh pihak bank, seorang kakitangan mereka disyaki telah mengeluarkan wang tersebut dan mendepositkannya ke beberapa akaun yang berbeza.

Bagaimanapun, kakitangan tersebut yang juga suspek utama kes ini telah meninggal dunia pada 5 Julai lalu.