
Pameran Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) Labuan 2026 mencatat sambutan memberangsangkan apabila menerima lebih 30,800 pengunjung dengan nilai jualan hampir RM800,000 dalam tempoh dua hari pertama penganjurannya.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata pencapaian itu membuktikan MAHA Labuan berjaya menarik minat masyarakat serta memberi impak positif kepada usahawan dan pemain industri agromakanan tempatan.
Beliau berkata, program tersebut bukan sahaja menjadi platform mempromosikan produk pertanian dan agro makanan, malah membuka peluang kepada usahawan untuk memperluaskan pasaran, menjalin kerjasama perniagaan dan meningkatkan pendapatan.
MAHA Labuan 2026 menghimpunkan pelbagai pameran, jualan produk tempatan serta aktiviti berkaitan sektor pertanian dan agropelancongan bagi merancakkan ekonomi serta memperkukuh industri makanan negara.




