Global

Longgokan ikan mati di Sungai Kundang akibat pencemaran minyak

RAWANG: Sebanyak 33 guni ikan mati telah dibersihkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di perangkap sampah Sungai Kundang di sini pada Sabtu.

LUAS dalam satu kenyataan berkata, kerja pembersihan dilakukan sejak Jumaat susulan insiden pengesanan minyak di lokasi berkenaan.

Menurutnya, operasi masih diteruskan sehingga kini dan kerja pembersihan pada tahap 70 peratus. “Kerja-kerja pembersihan di dalam premis terlibat dan jajaran Sungai Kundang yang terkesan berhampiran kawasan tanah perkuburan Kundang telah selesai antara jam 6 petang hingga 8 malam Jumaat.

“Kerja-kerja pembersihan kini tertumpu untuk diselesaikan di longkang luar premis yang masih terdapat sisa aliran tercemar serta di perangkap sampah Sungai Kundang yang mana terdapat longgokan ikan mati kesan daripada aliran minyak terkumpul,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menerusi kenyataan itu, LUAS memaklumkan pasukannya terus memantau dengan rapi di lokasi tapak agar pembersihan dilakukan sehingga selesai dan tiada potensi serta risiko kepada pencemaran.

“Pemantauan statik LUAS setiap 30 minit di Sungai Sembah sehingga jam 8.30 pagi ini menunjukkan bacaan bau dan keadaan aliran sungai normal.”Tiada kesan minyak ditemui dan keadaan semasa adalah baik dan terkawal,” katanya.

Pada Jumaat, rondaan dan pemantauan LUAS sekitar jam 11 pagi telah mengesan kesan dan bau seakan minyak kelapa di Sungai Kundang sekitar jam 11 pagi tadi.

Susulan itu, LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan atau mitigasi segera.

LUAS melaksanakan tindakan pencegahan awal dengan meletakkan oil boom di aliran Sungai Kundang bagi memerangkap aliran kesan minyak tersebut. Semakan LUAS mengesan aliran minyak tersebut daripada longkang sebuah premis yang disyaki di kawasan berhampiran.