Tempatan

Lelaki maut, motosikal terbabas masuk parit di Changkat Jong

Mangsa yang ditemui di dalam parit berjaya dinaikkan oleh pihak bomba dan disahkan maut oleh pihak perubatan. Ia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Foto JBPM Perak

TELUK INTAN: Seorang lelaki maut selepas motosikalnya termasuk ke dalam parit di Kampung Batu 9, Changkat Jong, dekat sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.25 malam.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan telah dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian terdapat sebuah motosikal yang terbabas dan seorang mangsa berbangsa Melayu berumur 38 tahun yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Menurut laporan Sinar Harian, mangsa dikenali sebagai Zaimi Adnan.

Sabarodzi berkata, mangsa berjaya dinaikkan dan disahkan maut oleh pihak perubatan.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ali Khasim tamat jam 8.10 malam.