Tempatan

Laungan ‘Bebaskan Palestin’ Bergema di Axiata Arena

Peserta himpunan dilihat mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk tanda sokongan kepada negara itu pada Himpunan Pembebasan Palestin yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena hari ini.

Laungan ‘Bebaskan Palestin’ dan ‘Israel Bacul’ bergema di sekitar Axiata Arena, Bukit Jalil apabila peserta mula tiba untuk menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin.

Pada jam 6.20 petang tadi, orang ramai yang berpakaian serba putih sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin mula memenuhi ruang dalam Axiata Arena selepas melalui pemeriksaan keselamatan terlebih dahulu.

Semangat solidariti peserta himpunan turut terserlah apabila mereka hadir membawa dan mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang, selain pelbagai sepanduk dengan kata-kata sokongan dan doa untuk mereka yang terkesan dengan situasi di Gaza.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan bahawa kira-kira 20,000 orang dijangka hadir untuk menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin.

Himpunan Pembebasan Palestin bertujuan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh serta menentang kekejaman berterusan rejim Zionis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin, bersama beberapa pemimpin lain.

Antara program yang diatur termasuk Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan doa Qunut Nazilah.