Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil langkah menutup sekolah jika suhu harian mencapai melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut berikutan dengan keadaan cuaca panas yang sedang melanda beberapa negeri. Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh menjelaskan bahawa keputusan penutupan sekolah akan bergantung kepada situasi semasa dan kawasan yang terlibat.
“Penutupan sekolah dilakukan mengikut garis panduan yang sedia ada. Pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedia maklum berkenaan garis panduan itu dan ia masih terpakai. Selain itu, sebarang aktiviti luar bilik darjah juga akan dihentikan sekiranya suhu cuaca melebihi 35 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Sirkuit ‘Allianz Junior Badminton Championship’ di Wintel Sport di sini pada Ahad.
Kah Woh menyatakan bahawa pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca semasa dengan mendapatkan nasihat dari KKM dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) demi menjaga kesihatan pelajar.
“Dalam tempoh ini, KPM memberi autonomi kepada pihak sekolah untuk menentukan aktiviti luar mengikut garis panduan tersebut. Bagi kami, kesihatan murid-murid merupakan suatu perkara yang menjadi keutamaan kepada kita,” katanya.
Amaran gelombang haba telah dilaporkan di Pasir Mas, Kelantan dengan suhu mencapai 40°C. Tujuh daerah lain termasuk Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai juga mengalami suhu melebihi 37°C. Selain itu, cuaca panas dengan suhu antara 35 hingga 37°C juga dilaporkan di Padang Terap, Kedah dan Kota Marudu, Sabah. Kementerian Kesihatan akan mengumumkan tentang penutupan sekolah akibat cuaca panas dengan penelitian lebih lanjut oleh Ketua Pengarah Kesihatan.
Cuaca panas yang luar biasa, terutamanya di Kelantan, Perlis dan Kedah dijangka berterusan selama dua bulan lagi disebabkan oleh fenomena El Nino dan perubahan iklim.