Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah mengeluarkan 20 Notis Bertulis (NB) melalui Ops Kesan 2.0 yang berlangsung dari 8 Jun hingga semalam.
Pengarahnya, S. Jegan menyatakan bahawa 42 premis telah diperiksa dalam operasi tersebut untuk mengenal pasti kenaikan harga barangan atau perkhidmatan akibat kenaikan harga diesel.
“Maklumat yang telah direkod akan dianalisis sama ada wujud aktiviti mencatut (mengambil keuntungan yang tidak munasabah) atau tidak. Sekiranya berlaku tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ops Kesan 2.0 dilaksanakan secara berperingkat untuk memantau kesan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, dengan fokus untuk membendung risiko pencatutan. Fasa pertama dilaksanakan dari 20 Mei hingga 31 Mei, sementara fasa kedua bermula dengan pelaksanaan kad fleet Sistem MySubsidi Diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menurut Jegan, pihaknya bersedia mengambil tindakan terhadap aduan mengenai kenaikan harga yang tidak munasabah, terutama terhadap mereka yang telah mendapat manfaat daripada penyasaran subsidi diesel serta peniaga yang tidak layak menerima subsidi diesel sebelum pelaksanaannya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pemeriksaan bekalan asas di Pasar Pagi Ban Busuk, Penanti Bukit Mertajam dan premis sekitarnya didapati mencukupi bagi menampung permintaan pengguna setempat dan tiada masalah terputus bekalan sempena sambutan Aidiladha esok.
“Hasil pemeriksaan terhadap 31 premis mendapati bekalan asas, minyak masak dan telur ayam ada di pasaran dan dijual tidak melebihi harga kawalan. Tidak berlaku kenaikan harga barangan semasa pemeriksaan dijalankan selain tanda harga dipamerkan dengan jelas serta alat timbang dan sukat masih dalam tempoh sah,” katanya.
Sumber: BERNAMA