PolitikTempatan

Konsep ‘madani’ tidak ikut acuan Islam bakal berdepan kegagalan – Hadi Awang

Abdul Hadi berkata, acuan madani yang tidak berasaskan acuan Allah dan Rasulullah pasti akan menuju kegagalan yang sama seperti mana tamadun sebelumnya. -Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Perkataan “madani” yang berasal daripada bahasa al-Quran hendaklah diterjemahkan dengan makna yang sahih secara beramanah dengan ilmu Islam, sumber ilmu yang wajib dipelihara, disampaikan dan diamalkan mengikut perintah Allah.

Menurut Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, acuan madani yang tidak berasaskan acuan Allah dan Rasulullah pasti akan menuju kegagalan yang sama seperti mana tamadun sebelumnya dan tamadun moden yang sedang membakar dirinya sekarang.

Justeru, Abdul Hadi berkata, umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan konsep ‘Masyarakat Sivil’ yang dibawa oleh mereka yang tidak beriman seperti Thomas Paine, John Locke, Jean-Jacques Rousseau, Montesquieu, Adam Smith, Karl Marx dan lain-lain.

“Syeikh Abul Hasan ‘Ali al-Nadwi pernah menegaskan konsep Negara Hidayah, bukan Negara Jibayah.

“Negara Hidayah dengan maksud sebuah negara yang mengikuti jalan yang lurus. Manakala Negara Jibayah pula membawa maksud negara yang berpandukan kepada asas materialistik semata-mata.

“Al-Farabi juga pernah memperkenalkan istilah Al-Madinah al-Fadilah yang dikatakan sebagai reaksi kepada falsafah Aristotle daripada karyanya, ‘The Republic’.

“Dalam pada itu, Al-Farabi juga menegaskan bahawa dalam usaha melakukan perubahan untuk menjadi negara berkonsep madani tidak boleh dijayakan dengan gejala rasuah, salah laku, salah urus, zalim, pengabaian integriti dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, Ibn Khaldun pula memperkenalkan perkataan madani dalam ilmu politik dan kemasyarakatan melalui kitabnya yang terkenal, al-Muqaddimah dan dalam karya tersebut beliau menyatakan bahawa manusia itu secara tabiinya bersifat madani.

“Rasulullah telah menukar nama tempat hijrah daripada Yathrib atau Taibah kepada perkataan Madinah supaya menjadi panduan bagi menegakkan sebuah masyarakat madani.

“Rasulullah berhijrah serta menghimpunkan kedua-dua bentuk umat, iaitu umat Islam dan umat manusia yang hidup bermasyarakat majmuk di Madinah. Lalu suasana sedemikian diuruskan dengan pelaksanaan Islam yang sempurna.

“Konsep madani yang sebenar telah berjaya dilaksanakan oleh Rasulullah berpandukan nas dan ijtihad, berkonsepkan siasah syar‘iyyah dan maqasid al-syari‘ah dari aspek tadbir urus dalam menangani realiti yang sentiasa mengalami perubahan,” jelas Abdul Hadi.

Khamis lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan slogan baharu Malaysia Madani dalam usaha membina martabat negara semula yang makmur dan dikenali pada masa depan.

Beliau berkata, istilah Madani merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam bermula di Madinah.

Menurut beliau, konsep itu dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW dan didukung oleh warganya yang berbilang kaum dan agama masyarakat dalam mengacu pada dasar-dasar manfaat buat warganya yang disebut al-khayr.

Sumber: Astro Awani