Tempatan

Komitmen untuk Mengeratkan Hubungan Malaysia-Singapura dalam Lawatan Perdana Menteri Singapura

Lawrence Wong (foto) akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 11 dan 12 Jun 2024. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia selaku Perdana Menteri Singapura. Gambar: BERNAMA

Menurut kenyataan dari Kementerian Luar (Wisma Putra), Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan membuat lawatan kerja pertamanya ke Malaysia pada 11 dan 12 Jun 2024.

Semasa lawatan tersebut, Wong dijadualkan untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua pemimpin akan berbincang tentang cara meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura, serta menukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang penting.

Mereka juga akan mengadakan sesi sidang akhbar bersama, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan itu.

Selain itu, Wong juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Lawatan kerja ini menggariskan komitmen bersama Malaysia dan Singapura untuk mengeratkan lagi hubungan yang telah lama terjalin serta sebagai persediaan untuk Sesi Permukiman Tahunan Pemimpin-Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada akhir tahun ini,” menurut Wisma Putra.

Pada 2023, Malaysia dan Singapura masing-masing merupakan rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (US$ 79.60 bilion).

Sumber: BERNAMA