Global

Klopp hilang sabar dengan wartawan susulan tewas kepada Manchester United

Klopp hilang sabar dengan wartawan susulan tewas kepada Manchester United

JURGEN Klopp berang dengan ‘soalan bodoh’ wartawan selepas Liverpool tewas dalam aksi suku akhir Piala FA kepada Manchester United di Old Trafford.

Liverpool bertandang ke laman keramat Manchester United dalam misi untuk meneruskan peluang merangkul gelaran ‘quadruple’ namun hasrat pengendali kelahiran Jerman itu terkubur apabila jaringan pada minit ke-121 Amad Diallo memastikan kemenangan 4-3 memihak United.

Selepas tamat perlawanan, Klopp ternyata berang dengan soalan yang diajukan oleh wartawan rangkaian televisyen dari Denmark, Niels Christian Frederiksen, ketika sidang media.

Di bawah merupakan transkrip pertukaran kata-kata antara Klopp dan Frederiksen. Sebagai makluman, Liverpool telah bermain 18 perlawanan pada 2024 berbanding 12 perlawanan United.

Wartawan: “Biasanya intensiti adalah nama permainan anda, jadi kenapa ia menjadi begitu sukar dalam masa tambahan?”

Klopp: “Soalan yang agak bodoh, yang saya perlu katakan. Kami menghadapi banyak perlawanan, saya tidak tahu berapa banyak perlawanan baru-baru ini, saya tidak tahu berapa banyak perlawanan yang dimainkan United.

“Sangat kecewa dengan soalan itu, tetapi anda fikir ia bagus.”

Wartawan: “Terlalu banyak perlawanan?”

Klopp: “Oh, tolonglah, anda ternyata seperti orang yang tidak sihat, soalan awak ini membuatkan saya rasa kurang senang. Apa masalah anda?”

Frederiksen turut memberikan reaksinya terhadap insiden tersebut, menegaskan dia memahami kekecewaan Klopp.

“Saya menafsirkannya ia sebagai ekspresi kekecewaannya kerana mereka tewas kepada Manchester United, di mana mereka mendahului dua kali dan sepatutnya mengesahkan kemenangan,” kata Frederiksen kepada majalah sukan Denmark Tipsbladet.

“Impiannya adalah untuk beraksi di final Piala FA di Wembley dalam perlawanan terakhirnya di England, dan ia telah dirampas oleh United. Jadi saya boleh faham kekecewaanya.

“Kemudian dia mendapat soalan yang dia fikir tidak sesuai. Ia telah menjadi tema bagi mereka bahawa mereka telah mengharungi banyak kecederaan dan banyak perlawanan, yang telah Klopp adukan. Kemudian dia mendapat soalan tentang mengapa mereka tidak mempunyai intensiti. dalam permainan, dan kemudian dia membentak.

“Saya faham. Saya sama sekali tidak mempunyai masalah dengan reaksinya.

“Apabila saya menemu bualnya sekali lagi, kami tetap menjadi kawan baik — secara profesional. Saya tidak fikir dia menyimpan dendam, dan saya pastinya tidak.”

Sumber: Berita Awani