Sukan

Kim Swee Dilantik Sebagai Jurulatih Baharu Persis Solo di Indonesia

Persis solo mengumumkan pelantikan itu secara rasmi pada Selasa. – Foto Facebook/Persis Solo

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, telah disahkan sebagai ketua jurulatih baharu bagi kelab bola sepak Liga Indonesia, Persis Solo. Pengumuman rasmi itu dibuat melalui laman Facebook rasmi Persis Solo pada awal pagi tadi.

Pelantikan ini sekali gus menjawab spekulasi mengenai hala tuju karier Kim Swee, yang sebelum ini turut dikaitkan dengan struktur baharu skuad Harimau Malaya. Persis Solo kini berada di tangga ketiga tercorot dalam carta liga, dengan hanya tujuh mata selepas 11 perlawanan.

Khamis lalu, jurulatih berusia 53 tahun itu mengesahkan perpisahannya dengan Sabah FC setelah kontraknya secara rasmi tamat pada 30 November ini. Sejak dilantik pada September 2021, Kim Swee berjaya membawa Sabah menamatkan dua musim Liga Super dalam kelompok tiga teratas dan memacu pasukan itu ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC musim lalu.

Kini, beliau bersedia menghadapi cabaran baharu bersama Persis Solo dalam usaha mengangkat prestasi kelab tersebut.