Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) telah dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei tahun depan dengan tema ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’. Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, edisi ke-17 LIMA yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) telah menerima sambutan awal yang memberangsangkan daripada pemain industri pertahanan terutama syarikat dalam dan luar negara. LIMA ’25 akan memperkenalkan beberapa segmen baharu seperti penekanan ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penambahan ruang pameran dan teknologi hijau.
LIMA ’25 berbeza daripada penganjuran LIMA sebelum ini yang menekankan kepentingan inovasi dan peningkatan daya saing industri seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat. LIMA adalah acara yang dinantikan oleh pemain tempatan dan antarabangsa dalam industri aeroangkasa serta maritim. Bagi memastikan kejayaan LIMA ’25, penganjur bersama iaitu GEC telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Arabian World Events, QUBE Integrated Malaysia Sdn Bhd, SHP Media Sdn Bhd, Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT).
Pihak penganjur juga menggalakkan institusi pengajian tinggi (IPT) kerajaan dan swasta yang mempunyai kepakaran dalam bidang aeroangkasa dan maritim untuk turut serta dalam pameran LIMA ’25. Ini selaras dengan usaha MINDEF untuk menjadikan pameran LIMA ’25 sebagai pusat pembangunan industri dan pembangunan sumber manusia.