KUALA LUMPUR: Perbicaraan membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid berhubung dakwaan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur disambung ke 10 April depan.
Sebelum ini, perbicaraan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dijadual diadakan dari 16 Januari hingga 19 Januari 2023 namun mahkamah pada Isnin menetapkan tarikhnya dijadualkan semula kepada April nanti.
Ketua pendakwa raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pihak pembelaan juga bersetuju mengenai tarikh perbicaraan tambahan untuk perbicaraan dari Jun hingga Ogos.
Beliau menyenaraikan tarikh perbicaraan tambahan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu 12 Jun hingga 15 Jun, 24 Julai hingga 27 Julai, 1 hingga 3 Ogos, 7 hingga 10 Ogos dan 21 hingga 24 Ogos 2023.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah mengambil maklum tarikh perbicaraan tambahan itu dan berkata tarikh perbicaraan yang dijadualkan sebelum ini pada April akan dikekalkan.
Pada 2 November 2022, Mahkamah Tinggi telah menetapkan 21 tarikh bagi perbicaraan tambahan dari Januari hingga Mei (16 hingga 19 Januari, 30 hingga 31 Januari, 7 hingga 9 Februari, 27 hingga 30 Mac, 10 hingga 13 April, dan 15 hingga 18 Mei).
Tarikh itu adalah bagi menggantikan tarikh perbicaraan yang dibatalkan atau dikosongkan pada November 2022.
Bagaimanapun, difahamkan bahawa tarikh perbicaraan dari Januari hingga Mac tahun ini juga telah dikosongkan dan tidak lagi terpakai.
Berikutan sebutan pada Isnin, perbicaraan Zahid akan disambung semula pada 10 April hingga 13 April, 15 Mei hingga 18 Mei, serta tarikh perbicaraan tambahan Jun hingga Ogos.
Kali terakhir kes Zahid dipanggil di Mahkamah Tinggi adalah pada 2 November 2022, apabila perbicaraan ditetapkan untuk diteruskan dengan saksi pembelaan memberi keterangan bagi pihak Zahid.
Begitupun, perbicaraan tidak berlangsung pada 2 November atau tarikh perbicaraan yang selebihnya pada 2022 iaitu 3, 9 dan 10 November kerana saksi sakit dan ketika itu Zahid sedang meneruskan rayuan untuk didengar pada 14 November oleh Mahkamah Rayuan.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Sumber : Astro Awani