Kehangatan pengumuman pemecatan Erik ten Hag sebagai Pengurus Manchester United selepas dua setengah tahun mengendalikan pasukan “The Red Devils” dalam Liga Perdana Inggeris turut dirasai di Malaysia.
Presiden Kelab Peminat Manchester United Malaysia, Raf Yaakob menyatakan bahawa keputusan untuk menamatkan kontrak jurulatih berusia 54 tahun dari Belanda itu adalah wajar memandangkan prestasi buruk kelab tersebut yang kini terperosok di kedudukan ke-14 dengan hanya tiga kemenangan daripada sembilan perlawanan.
“Ini memang dijangka selepas beberapa siri kekalahan United. Walaupun pihak pengurusan baharu telah memberi peluang kepada ten Hag, hasilnya tidak memuaskan.
“Maka, pemecatan ini adalah tindakan yang tepat. Kita ingin melihat sama ada isu ini berpunca daripada pemain yang kurang beraksi atau pengurusan jurulatih,” katanya.
Ruud Van Nistelrooy akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara, dibantu oleh pasukan kejurulatihan sedia ada sementara pengurus tetap yang baru akan dilantik.
Dalam perkembangan lain, seorang peminat setia dan bekas editor sukan New Straits Times, Lazarus Rokk meluahkan rasa gembiranya dan menyifatkan pemecatan ini sebagai “berita terbaik dalam hidup bola sepak saya sejak Erik ten Hag memimpin di Old Trafford.”
Pendapatnya mencerminkan rasa lega ramai peminat yang berharap pasukan kesayangan mereka akan bangkit semula.
Di samping itu, hantaran di laman Facebook rasmi Manchester United mengenai pemecatan Ten Hag menerima lebih daripada 72,000 tanda suka, 18,000 komen dan 10,000 perkongsian dalam masa dua jam selepas ia dimuat naik.
Seorang pengguna Facebook, Sukri Rasidin menyatakan bahawa keputusan ini adalah wajar tetapi menegaskan bahawa pemain juga perlu meningkatkan prestasi mereka terutamanya dalam aspek kecergasan.
“Banyak pemain boleh dilepaskan. Kecergasan kurang baik. Mereka lebih banyak berjalan daripada berlari. Ini bola sepak moden. Kelajuan dan ketangkasan penting,” tulisnya di ruangan komen hantaran tersebut.
United juga menghadapi situasi getir dalam Liga Europa dan kini berada di kedudukan ke-21 daripada 36 pasukan setelah mencatatkan tiga seri dalam tiga perlawanan awal.