Tempatan

KBS bakal lancar Rakan Demokrasi, galak belia dalam perbincangan politik

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka melancarkan Rakan Demokrasi sebagai inisiatif menggalakkan golongan muda terlibat dalam perbincangan mengenai politik.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, Rakan Demokrasi dijadual dilancarkan bersama Rakan Muda esok yang akan melibatkan belia berusia dari 15 tahun.

Jelas beliau, penglibatan golongan belia dalam perbincangan politik penting untuk kumpulan itu mempelajari nilai dan prinsip asas politik.

“(Rakan Demokrasi) tidak banyak kaitan dengan ideologi, (tetapi) lebih kepada tugas atau tanggungjawab sebagai warganegara termasuk cara anda memahami politik.

“Saya fikir ini adalah salah satu daripada banyak perkara yang sudah kita (KBS) lakukan. Malah ia sudah pun berlangsung.

“Pada masa ini kami mempunyai kira-kira 6,000 hingga 7,000 peserta yang terlibat dalam ‘pilot project’. “Bila kami telah melancarkan untuk sepanjang tahun, kami menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 penyertaan.

“Itu akan menjadi salah satu daripada banyak perkara yang KBS mahu lakukan,” katanya pada Sabtu. Adam Adli berkata demikian pada “Forum Kuasa Anak Muda: Meningkatkan Calon dan Wakil Muda Politik Dalam Pilihan Raya” yang diadakan di kampus Taylor’s Lakeside, di sini.

Mengulas lanjut, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, usaha meningkatkan kesedaran perlu dilakukan bagi mengalakkan penglibatan golongan belia dalam politik.

Jelas beliau, pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas yang telah berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 merupakan contohnya pencapaian terbesar dalam sistem demokrasi negara.

“Pertama, kita tidak boleh begitu sahaja membuat kesimpulan bahawa kita memerlukan beberapa pindaan atau undang-undang baharu.

“Tetapi kita perlu meningkatkan kesedaran dan juga minat terutamanya dalam kalangan belia.

“Selepas itu, barulah kita boleh bergerak ke beberapa bentuk pelaksanaan atau apa-apa jenis dasar undang-undang,” ujarnya lagi.

Penyertaan politik Sabah berasas ‘keperibadian’

Sementara itu, Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas berpandangan, penyertaan belia termasuk wanita dalam politik di Sabah disifatkan masih lagi rendah.

Keadaan itu, jelas beliau, antaranya dipengaruhi oleh kelemahan pendidikan yang menyebabkan kurangya literasi politik, selain faktor ketidakpercayaan institusi.

“Izinkan saya tambah satu lagi (faktor). Apabila kita lihat dalam perspektif yang lebih besar, saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh YB Adam Adli sebentar tadi iaitu mengenai hierarki.

“Politik di Sabah sangat bergantung kepada ‘keperibadian’. Terdapat stereotaip idea bahawa (jika mahu masuk politik di Sabah), anda mestilah seorang lelaki, kaya, serta stabil.

“Oleh (kerana faktor itu), anda boleh lah masuk politik. Jadi, ini sebenarnya semua isu yang kita lihat kurangnya penyertaan politik dalam kalangan belia, terutamanya di Sabah,” katanya.