Tempatan

Kartel Baja: SPRM Tahan Bekas Pengurus Pertubuhan Pertanian Berhubung Kes Rasuah

Kedua-dua suspek lelaki itu ditahan sekitar 8.30 malam Sabtu, ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakamkan keterangan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua bekas pengurus besar sebuah pertubuhan pertanian semalam bagi membantu siasatan mengenai penyalahgunaan kuasa yang melibatkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta. Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek lelaki yang berusia antara 50-an hingga 60-an itu ditangkap sekitar pukul 8.30 malam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan.

“Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengenai kartel perolehan baja yang membabitkan sebuah pertubuhan badan awam yang dipercayai terlibat dalam unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” jelas sumber itu.

Sumber SPRM juga menyatakan bahawa Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Sazly Md Sani telah membenarkan kedua-dua suspek direman selama tiga dan empat hari iaitu sehingga 5 dan 6 November depan, selepas permohonan dibuat oleh SPRM pada pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan bahawa kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Pada 30 Oktober, media melaporkan bahawa SPRM telah menahan seorang eksekutif pemasaran dari sebuah syarikat berkenaan dakwaan kewujudan kartel dalam pengagihan dan penyediaan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Susulan penahanan itu, dua individu lain termasuk pengerusi syarikat yang merupakan warga asing juga ditahan untuk membantu siasatan berkaitan kes tersebut.