Seorang bekas pegawai kewangan syarikat swasta berputih mata setelah kehilangan wang simpanannya berjumlah RM450,000 akibat terpengaruh dengan iklan skim pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi di media sosial. Lelaki berusia 40 tahun yang hanya dikenali sebagai Ken Wong mengakui bahawa walaupun telah hampir satu dekad berkecimpung dalam dunia pelaburan, pertimbangannya telah dikaburi oleh sifat tamak dan menyebabkan dia menekan pautan yang diberikan serta menyertai ruang sembang.
“Setelah itu, saya diminta untuk membuat pelaburan melalui sebuah platform dalam talian dan berjaya mengeluarkan dividen sekitar RM5,000 untuk meyakinkan pelabur. Platform tersebut menunjukkan bahawa pelaburan saya menguntungkan tetapi saya tidak dapat mengeluarkan keuntungan tersebut.
“Sebaliknya, platform itu meminta saya untuk melabur sebanyak RM1.5 juta dalam satu tawaran awam permulaan (IPO) syarikat luar negara dan ketika itulah saya mula menyedari bahawa saya telah ditipu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Ken Wong, dia telah melakukan 23 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun syarikat sendirian berhad yang berbeza sejak Julai sebelum membuat laporan polis pada bulan Ogos setelah menyedari bahawa dia telah ditipu oleh sindiket tersebut.
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas dalam menangani isu penipuan termasuk melakukan sekatan terhadap iklan-iklan pelaburan di media sosial yang sering digunakan untuk menjadikan mangsa.
“Mangsa penipuan ini termasuk mereka yang sudah pencen, dan mereka telah membuat laporan kepada PDRM serta agensi-agensi berkaitan dengan bukti yang dikemukakan,” katanya sambil memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima lebih 10 aduan daripada mangsa yang terperangkap dalam skim pelaburan serupa yang melibatkan kerugian lebih RM3 juta.