BisnesEkonomiTempatan

JOHOR BATAL LESEN NETWORK SCHOOL, ARAH OPERASI DIHENTIKAN

Kerajaan Johor menyokong keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) serta mengarahkan semua operasinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa 22 Julai. Keputusan itu dibuat selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, hasil penguatkuasaan dan representasi yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tindakan tersebut hanya diambil selepas aduan disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti dan proses perundangan disempurnakan. Beliau menegaskan bahawa tempoh sesebuah premis beroperasi tidak bermakna ia sentiasa mematuhi syarat lesen, dan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tanpa kompromi.

Kerajaan negeri turut memaklumkan akan memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi memastikan sebarang ketidakpatuhan terhadap undang-undang, pelesenan, penggunaan premis serta aspek keselamatan dapat dikesan dan ditangani dengan lebih berkesan pada masa hadapan.