Gaya Hidup

JEREBU BERTERUSAN, 30 KAWASAN REKOD KUALITI UDARA TIDAK SIHAT

Sebanyak 30 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 9 pagi Isnin. Batu Muda di Kuala Lumpur dan Johan Setia di Selangor menjadi dua lokasi paling terjejas apabila masing-masing merekodkan bacaan IPU 172, berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS).

Di Selangor, Petaling Jaya dan Shah Alam masing-masing mencatatkan bacaan IPU 167, diikuti Klang dengan 164 serta Banting pada paras 160. Selain Batu Muda, Cheras turut merekodkan kualiti udara tidak sihat dengan bacaan 165, manakala Putrajaya mencatatkan bacaan IPU 162.

Johor merekodkan tujuh kawasan dalam kategori tidak sihat, iaitu Larkin dengan bacaan 157, Pasir Gudang (156), Kota Tinggi (153), Kluang (152), Pengerang (151), Batu Pahat (143) dan Tangkak (142). Di Negeri Sembilan pula, Nilai mencatatkan bacaan 166, Seremban (160) dan Port Dickson (151).

Tiga kawasan di Melaka turut mencatatkan bacaan tidak sihat dengan Bukit Rambai merekodkan IPU 163, diikuti Alor Gajah (155) dan Bandaraya Melaka (153). Di Pahang, Rompin mencatatkan bacaan 152, Balok Baru di Kuantan (151), Jerantut (136), Indera Mahkota (115) dan Temerloh (104).

Di Perak, Tasek Ipoh merekodkan bacaan IPU 155 dan Pegoh Ipoh 151, manakala Paka di Terengganu mencatatkan 156 serta Kemaman 101. Sebanyak 31 kawasan lain berada pada tahap sederhana dan tujuh kawasan merekodkan kualiti udara baik. IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.