
Kerajaan memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terbukti terlibat dalam kegiatan dikenali sebagai “mafia korporat”, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mereka. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap bukti yang diperoleh perlu didedahkan dan tindakan sewajarnya hendaklah diambil berlandaskan undang-undang.
Menurut Anwar, sebuah Pasukan Petugas Khas yang diketuai Peguam Negara telah ditubuhkan bagi menyelaras siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berkenaan. Pasukan itu melibatkan semua badan penguatkuasaan berkaitan bagi memastikan siasatan dijalankan secara teratur, telus dan tidak tertumpu kepada mana-mana agensi atau individu tertentu sahaja.
Antara agensi yang terlibat ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Siasatan turut melibatkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Perdana Menteri turut mengarahkan laporan lengkap disediakan dalam tempoh tiga bulan dan hasilnya didedahkan kepada orang ramai. Menurut beliau, langkah itu penting supaya masyarakat tidak menganggap siasatan berkenaan dilakukan secara tidak telus atau terdapat usaha untuk menyembunyikan maklumat dan melindungi pihak tertentu.
Anwar menyebut beberapa nama yang telah dibangkitkan dalam perbahasan, termasuk Tan Sri Azam Baki, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador dan Victor Chin, namun menegaskan bahawa sebarang pendedahan perlu berasaskan bukti. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.




