Jemaah Menteri Malaysia mendesak agar siasatan segera dilakukan terhadap pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Dalam satu kenyataan, Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil menyatakan bahawa Jemaah Menteri juga menuntut agar pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.
Menurutnya, mesyuarat Jemaah Menteri pada hari Rabu mengecam sekeras-kerasnya kejadian tersebut dan menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin.
Fahmi menegaskan bahawa kerajaan akan terus bersuara lantang menyokong serta bekerjasama dengan negara lain untuk mendesak pembebasan rakyat Palestin daripada segala bentuk kezaliman.
Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui satu kenyataan pada hari Rabu menegaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab harus dihadapkan ke muka pengadilan.
Kenyataan tersebut menyatakan bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden pembunuhan itu serta menyampaikan takziah dan simpati kepada keluarga, kepimpinan dan rakyat Palestin.
Malaysia juga secara tegas mengutuk segala tindakan keganasan, termasuk pembunuhan yang disasarkan.