Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan mereka di puncak liga selepas mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC yang kini berada di tangga tercorot di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. JDT mendominasi permainan dan tidak menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi sepakan percuma Heberty Fernandes pada minit ke-15 diikuti gol keduanya enam minit kemudian.
Skuad Harimau Selatan yang dikendalikan oleh Hector Bidoglio menambah derita Negeri Sembilan apabila Arif Aiman Mohd Hanapi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-48 memanfaatkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti lawan dan mengatasi penjaga gol Tauffiq Ar Rasyid Johar. Di penghujung perlawanan, JDT dihadiahkan penalti selepas bola terkena tangan Muhammad Harith Samsuri di mana pemain gantian Jorge Leonardo tenang menyempurnakan sepakan untuk menjaringkan gol pada masa kecederaan babak kedua.
Dengan kemenangan ini, JDT mengumpul 37 mata selepas 13 perlawanan mendahului liga dengan selesa, 11 mata di depan pencabar terdekat, Selangor yang berada di tempat kedua. Negeri Sembilan sebaliknya kekal di tangga tercorot dengan hanya enam mata. Dalam perlawanan lain, Terengganu FC akhirnya kembali ke landasan kemenangan selepas enam perlawanan dengan menewaskan Penang FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.
Gol kemenangan dijaringkan oleh pertahanan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili pada minit ke-27 membolehkan Terengganu mengumpul 21 mata dan kekal di tangga keempat liga manakala Penang berada di tangga ke-11 dengan 11 mata selepas 14 perlawanan.