Global

ITALI PERKETAT DASAR SEKOLAH, PENUTUP MUKA DAN PELAJAR ASING JADI TUMPUAN

Kerajaan Itali merancang untuk mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di sekolah serta menetapkan secara sah jumlah maksimum pelajar asing yang dibenarkan dalam sesebuah kelas. Perdana Menteri Giorgia Meloni berkata, langkah baharu tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas proses integrasi dalam sistem pendidikan negara itu.

Menurut Meloni, ibu bapa kepada pelajar asing yang menghadapi kesukaran serius untuk menyesuaikan diri dengan sistem persekolahan juga akan diwajibkan mempelajari bahasa Itali. Pengumuman itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan sayap pemuda parti Brothers of Italy, dalam keadaan isu migrasi dan integrasi semakin mendapat perhatian menjelang pilihan raya umum Itali pada tahun depan.

Itali ketika ini tidak mempunyai undang-undang khusus yang melarang pemakaian burqa atau niqab sama ada di sekolah mahupun di tempat awam. Bagaimanapun, undang-undang yang diperkenalkan pada 1975 melarang penggunaan topi keledar atau pakaian yang menyukarkan proses mengenal pasti identiti seseorang tanpa alasan yang sah.

Pada 2008, mahkamah pentadbiran tertinggi Itali memutuskan bahawa penutup muka penuh boleh dipakai atas alasan agama atau budaya, dengan syarat wajah pemakainya ditunjukkan apabila pengesahan identiti diperlukan. Parti Liga yang menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan Meloni turut mengemukakan rang undang-undang di Senat bagi mengehadkan pakaian yang menutupi identiti, kecuali dalam keadaan tertentu seperti acara sukan atau di rumah ibadat.

Had pelajar asing dalam sesebuah kelas sebenarnya telah dilaksanakan di Itali sejak 2010, dengan jumlah mereka ditetapkan pada maksimum 30 peratus daripada kapasiti kelas dan keseluruhan enrolmen sekolah. Had itu boleh ditingkatkan bagi pelajar yang menguasai bahasa Itali dengan baik atau dikurangkan sekiranya penguasaan mereka lemah, manakala data Institut Statistik Kebangsaan Itali menunjukkan pelajar asing kini mewakili hampir 12 peratus daripada keseluruhan populasi pelajar negara tersebut.