JAKARTA: Indonesia giat dalam usaha membangunkan pelbagai instrumen fiskal dan kewangan yang berkaitan dengan perubahan iklim seperti bon hijau dan sukuk, kata Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati.
Beliau berkata sejumlah US$5 bilion dalam bon hijau sukuk global dan 21.8 trilion rupiah (US$1.4 bilion) bagi sukuk hijau domestik telah diterbitkan sejak 2018 bagi mengurangkan aspek pelepasan karbon.
“Instrumen kewangan ini berperanan penting dalam mengurangkan pelepasan itu dan menyaksikan pengurangan daripada 5.7 juta tan karbon dioksida (CO2) pada 2018 kepada 222,647 tan pada 2022,” katanya pada sesi dialog Bank Dunia mengenai Perubahan Iklim dan Masa Depan Indonesia, di sini, pada Isnin
Selain itu, Indonesia turut terbabit dalam usaha perkongsian pembiayaan bersepadu bagi meningkatkan pembangunan infrastruktur, selaras dengan matlamat pembangunan mampan dalam mewujudkan pelan pembiayaan yang konkrit.
“Kita akan terus bekerjasama dan terbuka kepada aspek itu kerana agenda iklim tanpa pembiayaan hanya akan kekal sebagai agenda atau impian,” katanya.
Sri Mulyani berkata Indonesia juga setakat ini telah mendapat sokongan kewangan daripada pelbagai negara dan Dana Iklim Hijau (GCF) yang ditubuhkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Rangka Kerja Perubahan Iklim.
Berdasarkan data Instrumen Kewangan GCF, ia telah memperuntukkan US$486 juta kepada Indonesia yang merangkumi masing-masing 23 peratus ekuiti, 26 peratus dalam pinjaman dan 35 peratus dalam geran, katanya.