GlobalKesihatan

GELOMBANG HABA DI AS RAGUT 25 NYAWA, RIBUT PULA CETUS ANCAMAN BANJIR

Sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan maut akibat gelombang haba melampau yang melanda Amerika Syarikat (AS) sejak seminggu lalu. Keadaan cuaca ekstrem itu turut menyebabkan berjuta-juta penduduk masih berada di bawah amaran haba di beberapa kawasan Pantai Timur, tenggara dan barat daya negara berkenaan.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran mengenai ribut petir yang berpotensi membawa angin kencang, hujan batu dan banjir kilat di beberapa kawasan. Amaran banjir masih berkuat kuasa di beberapa negeri, manakala gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan akibat cuaca buruk tersebut.

Walaupun suhu di beberapa kawasan dijangka beransur menurun minggu ini, pakar cuaca memberi amaran bahawa keadaan panas berbahaya dijangka berterusan di beberapa wilayah, termasuk California dan Arizona yang dijangka mencatat suhu melebihi 45°C.