Pelakon Farid Kamil menyatakan bahawa dia tidak pernah meminta wang daripada netizen sepanjang 15 tahun menjalani rumah tangga bersama isteri, aktres Diana Danielle.
Oleh itu, Farid memilih untuk tidak ambil peduli terhadap tanggapan netizen mengenai kemelut yang berlaku antara dirinya dan isteri.
“Saya mengharungi rumah tangga saya selama 15 tahun tanpa sesen pun duit netizen. Masalah daripada saya, masalah yang timbul pun apa semua pun, sekupang pun saya tak minta netizen,” katanya.
Ketika mengulas mengenai isu rumah tangganya, Farid turut berkata dia adalah satu-satunya individu yang tidak pernah menerima rasuah dan masih memperjuangankan isu tersebut sejak enam tahun lalu.
“Dan untuk pengetahuan semua, di kala 2024 ini mana nak cari manusia yang macam Farid Kamil ini. Awak tanya saya, saya seorang manusia yang tak ambil rasuah.
“Saya tak terima rasuah, saya tak ambil rasuah dan enam tahun perjuangan saya tentang rasuah ini, tahun 2024 Perdana Menteri betul-betul sokong, kita lawan rasuah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Farid juga berpendapat bahawa perceraian yang dianggap sebagai trend tahun ini mungkin mempunyai kaitan dengan politik dan harga minyak.
“Dalam 2024 ini, perceraian semakin menjadi trend. Adakah anda tidak merasakan bahawa perkara ini ada kaitan dengan politik dan harga minyak? Tidakkah anda perasan semua ini?” ujarnya.
Selepas setahun kembali rujuk, pelakon Diana Danielle mengejutkan ramai apabila mengumumkan bahawa dia akan memfailkan perceraian buat kali kedua terhadap suaminya, Farid Kamil.
Namun, Diana yang dikenali dengan nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 33 enggan memperincikan alasan di sebalik keputusannya untuk berpisah.
Pada hari Rabu, Farid mengakui bahawa terdapat perselisihan faham kecil antara dia dan isterinya, Diana Danielle sebelum aktres itu mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan untuk memfailkan perceraian kali kedua.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Muhammad berusia 11 tahun dan Nur Aurora berusia 9 tahun.
Sebelum ini, mereka pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos secara dalam talian sebelum rujuk semula pada 31 Ogos lalu.