Sukan

Faisal Halim Alami Kecederaan Lecur Tahap Dua

Keadaan Faisal Halim setelah disimbah asid

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi telah mengesahkan bahawa pemain bola sepak kebangsaan dan juga ahli Selangor FC, Faisal Halim telah mengalami kecederaan lecur tahap dua selepas disimbah cecair yang dipercayai asid di sebuah pasar raya di Kota Damansara hari ini.

Beliau mengesahkan bahawa Faisal yang merupakan pemenang anugerah Penjaring Gol Tercantik Piala Asia kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital tempatan untuk lecuran yang terdapat di bahagian leher, bahu, lengan dan dada.

Mohd Najwan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Kota Anggerik telah menghubungi pihak pengurusan Selangor FC dan diberitahu bahawa keadaan Faisal kini stabil.

Beliau mengecam keras serangan tersebut dan menuntut agar pihak polis menyiasat kes ini dengan cermat serta menghadapkan pelaku ke muka pengadilan.

“Didoakan agar saudara Faisal diberikan kekuatan dan semangat dalam menghadapi musibah ini, serta dikurniakan kesembuhan segera,” katanya dalam satu kenyataan.