ERFAN Gym & Fitness serius untuk mengambil alih Kelantan FC daripada pemilik pasukan itu Norizam Tukiman.
Pemilik Erfan Gym & Fitness yang enggan dikenali itu berkata, keputusan itu dibuat untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan yang pernah dikecapi oleh Kelantan FC pada 2012 dan 2013 lalu.
“Sejujurnya, saya bersama dengan bola sepak Kelantan sudah lama. “Saya bermula sebagai salah seorang penaja di zaman Datuk Seri Vida lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Menurut beliau, sebelum mengambil alih The Red Warriors (TRW), satu pertemuan dengan pemilik Kelantan FC akan dilakukan bagi membincangkan perkara tersebut.
Katanya, nilai pasaran TRW ketika ini melebihi RM5 juta.
Erfan Gym & Fitness berkata, jika gagal memiliki pasukan itu, beliau bercadang untuk menjadi penaja utama kepada TRW pada masa hadapan.
Anak kelahiran Wakaf Che Yeh yang berusia 30-an itu berkata, beliau turut menjalankan perniagaan lain dalam bidang perlombongan emas dan mengimport air.
Sebelum ini Norizam atau Zamburger mengesahkan pihaknya ada menerima dua tawaran untuk ambil alih Kelantan FC iaitu Datuk Seri Vida dan Erfan Gym & Fitness.
Bagaimanapun, ia hanya perjumpaan awal untuk tunjuk minat sebelum langkah seterusnya.
Media sebelum ini melaporkan, Zamburger menegaskan individu yang berhajat membeli saham TRW sepenuhnya perlu menyediakan dana melebihi RM5 juta.
Jelasnya, berpandangan bahawa harga Kelantan FC lebih tinggi daripada nilai terbabit berdasarkan kepada situasi kelab yang bebas hutang dan tanpa sebarang bebanan kewangan lain.
Sumber: Sinar Harian