Sukan

Bojan Hodak lepas jawatan ketua jurulatih KL City

Hodak (kiri) menyertai KL City pada 2021 dan berhasil membantu pasukan itu menamatkan kemarau 32 tahun gelaran Piala Malaysia dengan menewaskan JDT 2-0 dalam aksi final tahun yang sama. – Foto Astro ARENA

BOJAN Hodak dilaporkan telah melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih kelab Liga Super, Kuala Lumpur City FC.

Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, keputusan itu diambil jurulatih berusia 52 tahun berkenaan selepas mendapat tawaran kelab Indonesia, Persib Bandung.

Menurutnya lagi, kerusi panas yang ditinggalkan pengendali dari Croatia itu akan diambil alih oleh bekas ketua jurulatih Penang FC, Nenad Bacina.

Untuk rekod, Hodak menyertai KL City pada 2021 dan berhasil membantu pasukan itu menamatkan kemarau 32 tahun gelaran Piala Malaysia dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 dalam aksi final tahun yang sama.

Selain itu, dia turut membawa skuad Warga Kota berkenaan bergelar naib juara Piala AFC 2022 dan Piala FA baru-baru ini.