PolitikPendapat

BERSIH gesa peruntukan kepada MP pembangkang diberi tanpa syarat

BERSIH menyifatkan perkara itu sebagai tidak adil berikutan ia merupakan dana khusus bagi Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH) tidak bersetuju pertuntukan pembangunan kawasan (CDF) untuk Ahli-Ahli Parlimen Pembangkan dikenakan dengan syarat tertentu.

BERSIH menerusi kenyataannya pada Rabu menyifatkan perkara itu sebagai tidak adil berikutan ia merupakan dana khusus bagi Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.

“Bersih tidak setuju peruntukan CDF untuk ahli-ahli parlimen pembangkang diikatkan dengan syarat-syarat tertentu kerana peruntukan ini patut diberi sebagai hak ahli parlimen tanpa mengira parti.

“Mereka juga dipilih oleh rakyat dan kerajaan Madani harus menghormati pilihan pengundi kawasan pembangkang dan tidak menggunakan peruntukan sebagai cip tawar-menawar untuk menarik sokongan Ahli-ahli Parlimen pembangkang,” menurut kenyataan itu.

Ujar BERSIH, amalan tidak adil itu sebaliknya telah diamalkan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang seterusnya berjaya dihapuskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Semua Ahli Parlimen PN yang menyatakan pendirian untuk menyokong Kerajaan Persekutuan menunjukkan realiti malang politik di Malaysia hari ini.

“Mereka yang sehaluan dengan kerajaan mendapat wang awam dan sebaliknya mereka yang tidak menyokong kerajaan akan dihukum dengan ditahan peruntukan tersebut.

“Amalan tidak adil ini yang bermula di zaman BN dan disambung di zaman PN telah selama ini dibantah dan dijanji penghapusannya oleh PH dalam manifesto PRU15,” menurut kenyataan itu lagi.

BERSIH dalam masa sama menggesa Kerajaan Madani agar menjalinkan persefahaman (MOU) antara kedua-dua pihak bagi mengekalkan aspek kestabilan politik.

Sekiranya usaha itu gagal, terdapat keperluan untuk mendapat khidmat bantuan daripada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang telah banyak mengotakan kebanyakan reformasi institusi dalam MOU antara 2021-2022.

Ini termasuk penglibatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai ‘orang tengah’ untuk membawa perdamaian demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Sejak kebelakangan ini, wujud beberapa Ahli Parlimen dalam kalangan pembangkang yang mula menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan itu diambil sebagai usaha untuk mendapatkan peruntukan bagi menampung keperluan di kawasan parlimen mereka.

Bagaimanapun usaha beberapa Ahli Parlimen pembangkang itu pula terpaksa berdepan dengan tindakan disiplin oleh parti mereka.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site is protected by reCAPTCHA and the Google Privacy Policy and Terms of Service apply.