
KUALA LUMPUR: Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 dijangka menjadi tumpuan utama bagi 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara. Sistem saraan baharu ini bertujuan untuk memperkasakan perkhidmatan awam, serta menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan pelarasan gaji dilaksanakan secara berperingkat.
Pelaksanaan pelarasan gaji fasa pertama akan bermula pada 1 Disember 2025, diikuti fasa kedua pada 1 Januari 2026. Melalui pelarasan ini, pegawai Kumpulan Pelaksana serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional dijangka menerima kenaikan gaji sebanyak 15 peratus, manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi akan mendapat pelarasan sebanyak tujuh peratus.
Herlina Ainizawati Zakaria, seorang pegawai Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Selangor, berharap bantuan kewangan khas seperti yang diumumkan dalam belanjawan sebelum ini dapat diteruskan, walaupun pelarasan gaji fasa pertama akan dilaksanakan pada Disember. Menurutnya, bantuan akhir tahun dan bantuan khas Aidilfitri sedikit sebanyak dapat meringankan beban penjawat awam, terutamanya bagi mereka yang berkeluarga.
“Sesi persekolahan akan bermula pada Februari tahun depan, diikuti Ramadan pada awal Mac dan Hari Raya Aidilfitri pada penghujung bulan yang sama. Tempoh yang singkat ini pasti memberi tekanan kepada mereka yang mempunyai ramai anak,” katanya.
Sementara itu, seorang guru, Marzukhi Mokhtar, 34, berharap isu kuarters penjawat awam yang uzur dan kurang diselenggara turut diberikan perhatian dalam Belanjawan 2025. Menurutnya, beberapa kuarters sudah terlalu usang, dengan cat yang berkulat dan kemudahan yang rosak. Ada penjawat awam yang terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membaiki kediaman mereka.
Beliau berharap peruntukan yang sesuai diberikan bagi membaik pulih kuarters kerajaan, sekali gus meningkatkan keselesaan dan prestasi penjawat awam.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini.
