Tempatan

KLSCM 2024: Lebih 30 jalan sekitar ibu negara ditutup sementara

Lebih 30 jalan di ibu negara akan ditutup atau dilencongkan sempena Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2024 yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad ini

KUALA LUMPUR: Lebih 30 jalan di ibu negara akan ditutup atau dilencongkan sempena Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2024 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad ini, menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Beliau memaklumkan bahawa 15 jalan akan ditutup secara berperingkat mulai 5 pagi hingga 12 tengah hari pada Sabtu, manakala 37 jalan lagi akan ditutup bermula 3 pagi hingga 12 tengah hari pada Ahad.

Antara jalan yang terlibat termasuk Jalan Kinabalu, Jalan Leboh Pasar, Jalan Leboh Ampang, Jalan Tun Perak, Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Abdullah. Jalan lain yang turut terlibat ialah Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Perak, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Dato’ Onn, Jalan Tugu, Jalan Jelatek, Bulatan Segambut, Jalan Tun Razak dan Jalan Putra.

Sebanyak 361 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan bertugas untuk melaksanakan penutupan jalan secara berperingkat.

Sementara itu, 12 laluan di sekitar ibu negara juga akan ditutup sementara pada Khamis ini bagi memberi laluan kepada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024. Rusdi menjelaskan bahawa penutupan jalan untuk perlumbaan ini akan bermula pada 10 pagi, dengan 174 pegawai dan anggota JSPT ditempatkan di laluan yang terlibat.

Pelepasan LTdL akan bermula pada 11 pagi di KLCC, melalui beberapa jalan utama termasuk Persiaran KLCC, Jalan Ampang, Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Tun Razak, dan Jalan Ampang (ke arah MRR2). Antara laluan yang terlibat dalam penutupan termasuk persimpangan Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Akleh, Jalan Yap Kwan Seng, dan Jalan Desa Pandan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan JSPT Kuala Lumpur di 03-2071 9999. Maklumat lanjut juga boleh didapati melalui laman Facebook JSPTKL atau balai polis berdekatan.