
Seorang bekas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Krai selepas mengaku bersalah mencederakan seorang murid lelaki darjah lima. Hukuman terhadap Abdullah Mustakim, 33, diputuskan oleh Majistret Rais Imran Hamid pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, Abdullah dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada murid berkenaan dengan menendang muka mangsa menggunakan kaki kanannya. Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Kuala Krai pada kira-kira jam 2.30 petang, 23 Oktober 2024.
Berdasarkan fakta kes, ibu murid tersebut sedang berada di pasar malam pada kira-kira jam 5.15 petang hari kejadian apabila anaknya memaklumkan bahawa dia telah ditendang pada bahagian muka oleh tertuduh ketika mengikuti kelas KAFA. Perbuatan berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian gusi.
Abdullah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farazalila Fauzi, memohon hukuman ringan dengan memaklumkan bahawa anak guamnya kini bekerja sebagai buruh dan memperoleh pendapatan bulanan RM1,000, selain menanggung isteri serta tiga anak kecil yang belum bersekolah. Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor pula memohon hukuman setimpal kerana kesalahan itu melibatkan seorang kanak-kanak dan perlu dijadikan pengajaran.




