PADANG BESAR: Bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan menyerahkan borang keahlian bulan lalu, menjadikan parti itu platform baharu untuk perjuangan politiknya. Beliau berhasrat memperkukuh kedudukan PKR di Perlis.
Zahidi, yang pernah menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, menyatakan bahawa permohonannya untuk menyertai PKR mendapat sokongan daripada kepimpinan tertinggi parti tersebut.
“Fokus utama saya adalah memperkukuh PKR di Perlis dengan menambah 400 ranting baharu di seluruh negeri. Ketika ini, PKR hanya memiliki 60 ranting di Perlis,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Sumbangan Prihatin MADANI hari ini.
Beliau menegaskan bahawa keputusannya menyertai PKR bukan atas dasar dendam terhadap parti lamanya, tetapi kerana ingin memastikan PKR menjadi pilihan utama rakyat Perlis. Zahidi juga berharap parti itu dapat membentuk kerajaan negeri yang stabil pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurutnya, kerjasama antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di peringkat pusat dijangka mencetuskan gerakan kukuh untuk merampas kembali Perlis pada PRU16.
Sebagai rekod, Zahidi tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional pada PRU15 untuk kerusi Parlimen Padang Besar. Beliau kemudian bertanding sebagai calon Bebas dalam pertandingan lima penjuru, tetapi tewas kepada Datuk Rushdan Rusmi (PN-PAS). Pertandingan itu turut melibatkan Datuk Zahida Zarik Khan (BN), Ko Chu Liang (Warisan), dan Mohamad Saad @ Yahya (PH-Amanah).