KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith dinamakan sebagai calon yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri, 12 Ogos nanti.
Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan Eddin Syazlee akan dipertaruhkan untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juaseh.
Pada PRU15 yang lalu, Eddin Syazlee gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah selepas tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Adnan Abu Hassan.
Eddin Syazlee tewas dengan majoriti 6,483 undi, berada dikedudukan ketiga selepas calon Pakatan Harapan (PH) Nor Azman Mohamad yang memperolehi 14,940 undi.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Faizal menegaskan PN yakin dapat menawan Negeri Sembilan dari Pakatan Harapan.
“Di Negeri Sembilan ini kita melihat potensi untuk kita memenangi pilihan raya negeri yang akan datang ini begitu baik sekali.
“Insya-Allah, berkat dengan kerja kuat setiap daripada kita bekerja sebagai satu kumpulan, kita amat yakin bahawa kita akan berjaya menukar tampuk pemerintahan kerajaan Negeri Sembilan usai pilihan raya negeri yang akan datang,” katanya.
Beliau juga berharap kerjasama erat semua parti komponen PN dapat memastikan kejayaan yang cemerlang pada PRN nanti.
Ahmad Faizal berharap semua pihak menerima calon yang telah dipilih mewakili PN di Negeri Sembilan biarpun tidak memenuhi kehendak akar umbi.
Selain, Eddin Syazlee, PN turut menyenaraikan anak bekas Yang Dipertuan Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, Danni Rais di kerusi DUN Kelawang.
Sebanyak 34 nama calon diumumkan pada malam ini dengan Bersatu mendahului dari segi jumlah bertanding iaitu sebanyak 15 kerusi, diikuti PAS (12) dan Gerakan (6).
Secara keseluruhan Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN.