KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir kembali meningkat setakat jam 6 pagi Selasa berikutan amaran hujan lebat berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sehingga Rabu.
Dua negeri di pantai timur, Terengganu dan Pahang, telah membuka semula pusat pemindahan sementara (PPS). Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan seramai 1,093 mangsa daripada 326 keluarga kini berada di 27 PPS di tujuh negeri.
Terengganu mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 467 mangsa di 11 PPS. Di Pahang, 4 PPS dibuka untuk menempatkan 45 mangsa daripada 13 keluarga.
Negeri-negeri selatan turut mencatat peningkatan, dengan Johor merekodkan 166 mangsa, sementara Melaka kekal dengan 11 mangsa di satu PPS.
Perak pula mencatatkan 112 mangsa daripada 36 keluarga di 3 PPS, manakala Negeri Sembilan menempatkan 251 mangsa di 3 PPS. Di Sabah, seramai 41 mangsa daripada 10 keluarga masih berada di satu PPS.