Tempatan

Anak OKU maut dibelasah kekasih ibu, mayat dicampak dalam semak

Lokasi mayat kanak-kanak lelaki Orang Kurang Upaya(OKU) dicampak di kawasan semak di Kampung Kranji, Bau.

BAU: Mayat kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan dalam semak, dipercayai dipukul sehingga mati sebelum dicampak ke kawasan itu di Kampung Kranji di sini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira lima hari sebelum ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya berusia enam tahun itu pada 21 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Poge Nyaon, berkata anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang menjalankan siasatan membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 35 tahun kira-kira jam 3 petang kelmarin.

“Hasil soal siasat, suspek memberitahu memukul anak bongsu teman wanitanya sehingga tidak bernyawa sebelum membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan semak.

“Pihak polis dipandu suspek kemudian dibawa ke tempat kanak-kanak itu dibuang pada jam 6.45 petang semalam (kelmarin) dan ibu mangsa mengesahkan identiti anaknya berdasarkan pakaian dan anak patung yang dipegang mangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, ibu kanak-kanak berusia 34 tahun itu juga ditahan untuk siasatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan secara rapi dan profesional,” katanya.

Sumber : BH Online