PelaburanKewanganTempatan

AirAsia X: Prestasi kewangan pulih, keluar dari status PN17

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd (AAX) mencatatkan penurunan dalam keuntungan bersih kepada RM5.56 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2023, daripada RM25.09 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, hasil bagi tempoh dalam tinjauan melonjak kepada RM648.36 juta berbanding RM100.10 juta setahun lalu, kata syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

ADVERTISING

Ia menyatakan syarikat itu memulakan operasi pada suku berakhir 30 Jun, 2022, selepas dua tahun ia menggantung penerbangan berjadual, dan majoriti pesawat syarikat kekal di daratan pada suku berakhir 30 Sept, 2022.

“Oleh itu, suku perbandingan bagi petunjuk prestasi untuk suku tersebut adalah tidak bermakna. Pembentangan penjadualan metrik hasil dan kos pada suku tersebut, akan dibentangkan tanpa perbandingan dengan suku terakhir kerana tiada perbandingan pada suku yang sama seperti 30 Sept, 2023,” kata AAX.

Ia juga berkata tempoh yang ditinjau secara tradisinya mencatatkan jualan yang agak rendah disebabkan oleh kebermusiman bagi sektor-sektor antarabangsa.

Namun, kumpulan itu telah mencapai pemulihan lebih 53 peratus berbanding tempoh yang sama sebelum COVID-19, kata AAX.

Selaras dengan pengaktifan semula pesawat pada suku ini kepada 14 pesawat yang beroperasi, kos kakitangan dan kos penyelenggaraan turut meningkat.

Menjelang akhir September 2023, bilangan juruterbang dan kru kabin masing-masing telah meningkat sebanyak 40 peratus dan 131 peratus, manakala kos penyelenggaraan bertambah seiring dengan penggunaan pesawat yang lebih tinggi dan seterusnya didorong oleh kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

Mengenai tinjauan masa depan, AAX berkata kumpulan itu mengekalkan momentumnya dalam pemulihan armada, yang mana kumpulan itu kini mengendalikan 14 daripada 17 pesawat dan dijangka menambah satu lagi pesawat kepada armadanya, menjadikan jumlah saiz armadanya kepada 18 pesawat.

“Menjelang Disember 2023, kami menjangkakan sekurang-kurangnya 16 pesawat akan beroperasi. Kumpulan meneruskan haluannya dalam melancarkan semula laluan utama yang menguntungkan dan mengekalkan tumpuannya terhadap potensi di China apabila trafik perjalanan antarabangsa republik itu pulih,” tambahnya.

Sementara itu dalam makluman berasingan, AAX mengumumkan bahawa Bursa Malaysia telah meluluskan permohonannya untuk ditarik balik daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

“Bursa Securities, melalui suratnya bertarikh 21 Nov, 2023, selepas mengambil kira fakta dan keadaan yang relevan, termasuk antara lain, syarikat tidak lagi mencetuskan mana-mana kriteria yang ditetapkan di bawah PN17, syarikat telah mematuhi kriteria untuk penepian dan penarikan balik daripada diklasifikasikan sebagai syarikat PN17.

“Selain itu, laporan suku tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Sept, 2023, yang perlu dikemukakan sebelum 30 Nov, 2023, memutuskan untuk membenarkan rayuan tertakluk kepada pengumuman AAX tentang keuntungan selepas cukai yang boleh dikaitkan kepada pemegang ekuiti AAX dalam keputusan suku tahunan,” katanya.

Penarikan balik AAX daripada diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 akan berkuat kuasa 22 November 2023.

Sumber: Berita Harian