Sukan

REXY PERCAYA EMAS BADMINTON SUKAN ASIA DALAM JANGKAUAN MALAYSIA

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky percaya skuad badminton negara berpeluang meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.

Bagaimanapun, Rexy tidak mahu memberikan tekanan berlebihan kepada pemain dan mengambil pendekatan realistik dengan menetapkan pingat perak serta gangsa sebagai sasaran awal. Beliau tetap yakin barisan negara mampu menghasilkan pencapaian lebih baik.

Keyakinan itu disandarkan kepada pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, Aaron Chia-Tee Kai Wun, Pearly Tan-M. Thinaah serta Chen Tang Jie-Cheng Su Yin. Faktor undian juga dijangka memainkan peranan penting, terutama bagi pasangan yang tidak berada dalam kelompok pilihan utama.

Malaysia kali terakhir memenangi emas badminton Sukan Asia menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam acara beregu lelaki di Doha pada 2006. Badminton menjadi antara sukan yang berpotensi menyumbang kepada sasaran kontinjen negara meraih enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa kali ini.