
Seorang wanita warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa India selepas ditemukan membawa 15 kilogram ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi pada 4 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang berasal dari Perak ditahan selepas pemeriksaan Kastam India menemukan dadah tersebut disembunyikan dalam 30 bungkusan di dalam bagasi trolinya.
Wanita berkenaan dilaporkan menaiki penerbangan Batik Air OD205 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke New Delhi. PDRM menerima maklumat mengenai penahanannya daripada Biro Kawalan Narkotik India.
Suspek kini ditahan pihak Kastam India dan disiasat mengikut Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik 1985 sementara menunggu perbicaraan. Polis turut memaklumkan wanita itu mempunyai satu rekod berkaitan dadah mengikut Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.




