Tempatan

PENGUSAHA PELANCONGAN DIMINTA KURANGKAN PENCAHAYAAN DEMI PENYU BELIMBING

Kerajaan Terengganu meminta pengusaha pelancongan dan pemilik premis di sepanjang Pantai Rantau Abang mengurangkan pencahayaan bagi mengelakkan gangguan terhadap penyu belimbing yang dijangka kembali mendarat pada musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kemunculan semula spesies itu di Pantai Pasir Putih, Marang baru-baru ini memberikan harapan kepada usaha pemuliharaan serta sektor pelancongan negeri.

Berdasarkan pengalaman penduduk terdahulu, penyu belimbing lazimnya naik bertelur sebanyak tiga kali dalam satu musim di lokasi sama. Haiwan berkenaan dijangka kembali dua kali lagi sebelum musim pendaratan berakhir pada November.

Nelayan turut diminta lebih berhati-hati supaya penyu tidak terperangkap dalam pukat. Pada masa sama, kebersihan dan kelestarian pantai perlu dipelihara bagi mengembalikan Rantau Abang sebagai lokasi pendaratan penyu yang dikendalikan secara terkawal serta mesra alam.