
Setiausaha Pemuda Amanah, Ahmad Shahir Mohd Shah mempersoalkan sama ada Pas sanggup menarik balik Amanat Haji Hadi 1981 sekiranya benar-benar mahu menghidupkan semula kerjasama dan perpaduan dengan UMNO.
Menurut Ahmad Shahir, beliau tidak melihat Pas akan membangkitkan atau menarik balik amanat tersebut. Beliau mendakwa penekanan terhadap agenda Melayu-Islam ketika ini lebih tertumpu kepada usaha memperoleh kuasa politik.
Persoalan sama sebelum ini dibangkitkan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang menyatakan bahawa amanat berkenaan tidak pernah ditarik balik dan masih menyinggung perasaan sebahagian ahli UMNO.
Ahmad Shahir turut mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mengenai persamaan akidah dan kepentingan umat Islam sebagai asas kerjasama kedua-dua parti. Bagaimanapun, beliau berpandangan Pas dan UMNO masih mempunyai perbezaan dasar serta pendekatan perjuangan yang sukar disatukan.




