Tempatan

KERAJAAN MADANI TIDAK PERNAH SOKONG KEGIATAN JUDI – ANWAR

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak pernah menyokong kegiatan perjudian atau menggalakkan pertambahan premis judi di negara ini.

Beliau menolak dakwaan yang cuba menggambarkannya sebagai “tauke judi” dan menjelaskan bahawa jumlah cabutan khas nombor ramalan telah dikurangkan daripada 22 kepada lapan kali setahun selepas pentadbirannya mengambil alih kerajaan.

Penjelasan itu diberikan susulan polemik berkaitan lesen perjudian di Kedah. Anwar menegaskan, sebarang urusan pelesenan perlu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta keputusan mahkamah dan bukan berdasarkan kehendak politik mana-mana pihak.

Pada masa sama, kerajaan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan perjudian haram. Anwar menegaskan pendirian Kerajaan Madani dalam isu tersebut kekal jelas dan tidak wajar diputar belit sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.