Sukan

MSN TEGAS SENTIASA SOKONG AZIZULHASNI MENUJU OLIMPIK LA 2028

Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan komitmennya untuk terus menyokong Datuk Azizulhasni Awang dan perancangannya menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028. Pendirian itu telah disampaikan dalam beberapa siri pertemuan bersama pelumba berbasikal trek negara tersebut.

Azizulhasni sebelum ini mengemukakan beberapa keperluan, termasuk sokongan tambahan dalam bidang sains sukan dan perubatan, penggunaan fasiliti MSN serta Institut Sukan Negara, selain program latihan secara hibrid di Kuala Lumpur dan Melbourne. Menurut MSN, semua permohonan itu telah mendapat persetujuan secara prinsip.

MSN turut bercadang meneruskan pemberian geran serta menanggung penyertaan Azizulhasni secara berpasukan dalam kejohanan utama. Satu e-mel dihantar kepadanya pada 27 Ogos bagi mendapatkan pelan lengkap meliputi latihan, pertandingan, sasaran prestasi, laluan kelayakan Olimpik, keperluan pasukan sokongan dan anggaran perbelanjaan tahunan.

Badan itu bagaimanapun terkejut dengan dakwaan jurulatih Azizulhasni, John Beasley bahawa tiada perbincangan mengenai masa depan pelumba tersebut. MSN menyifatkan dakwaan itu tidak tepat kerana beberapa pertemuan telah diadakan, manakala pengumuman rasmi mengenai program Olimpik 2028 dipersetujui untuk dibuat selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai pada Oktober.