Gaya Hidup

JPJ BINCANG PENAMBAHBAIKAN HIMPUNAN RXZ MEMBERS

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan sesi libat urus dengan penganjur RXZ Members bagi membincangkan langkah penambahbaikan untuk penganjuran himpunan motosikal itu pada masa hadapan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pertemuan pertama yang dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya itu bertujuan mendapatkan pandangan pihak penganjur.

Beliau menegaskan bahawa JPJ tidak berhasrat menyekat program permotoran tersebut. Namun, keselamatan peserta dan pengguna jalan raya lain perlu diberi keutamaan, selain memastikan undang-undang serta peraturan teknikal kenderaan dipatuhi.

Langkah itu menyusul selepas 46 kemalangan motosikal direkodkan dalam tempoh empat hari sepanjang RXZ Members 8.0, iaitu dari 30 Julai hingga 2 Ogos. Daripada jumlah tersebut, 11 merupakan kemalangan maut, lima melibatkan kecederaan parah dan 30 lagi dikategorikan sebagai kemalangan ringan.