Sukan

16 TAHUN BERSAMA, PETRONAS PACU MERCEDES MELANGKAUI BATAS LITAR F1

– Foto Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team –

Kerjasama strategik antara PETRONAS dan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team yang bermula pada 2010 kini berkembang jauh melangkaui penajaan konvensional. Prinsipal pasukan, Toto Wolff menyifatkan kepakaran teknikal syarikat tenaga Malaysia itu sebagai sebahagian penting daripada identiti, pembangunan kejuruteraan dan kejayaan Mercedes dalam arena Formula Satu.

Kepakaran Mercedes dalam pembangunan casis dan unit kuasa digabungkan dengan teknologi bahan api serta bendalir PETRONAS bagi memastikan setiap komponen jentera berfungsi sebagai satu sistem yang optimum. Menurut Wolff, integrasi menyeluruh antara kedua-dua organisasi menjadi asas kepada prestasi pasukan yang telah meraih pelbagai kemenangan perlumbaan dan kejuaraan dunia sepanjang 16 tahun kerjasama.

Formula Satu turut disifatkan sebagai “makmal terpantas di dunia” kerana tuntutan persaingannya mempercepat proses pembangunan teknologi, keselamatan dan kecekapan. Teknologi bahan api serta pelincir yang diuji dalam persekitaran perlumbaan berprestasi tinggi bukan sahaja membantu jentera di litar, malah pengetahuan yang diperoleh berpotensi diterjemahkan kepada produk dan kenderaan kegunaan harian.

Timbalan Prinsipal Pasukan Mercedes, Bradley Lord berkata PETRONAS Advanced Sustainable Fuel merupakan antara elemen utama dalam menghadapi era teknikal baharu F1. Mercedes dan PETRONAS menetapkan sasaran supaya penggunaan bahan api mampan tidak menjejaskan daya saing, sebaliknya mampu menawarkan prestasi setanding atau lebih baik berbanding bahan api perlumbaan konvensional.

Pembangunan bahan api tersebut memerlukan PETRONAS membina keseluruhan rantaian bekalan, daripada sumber bahan mentah sehingga produk akhir yang digunakan dalam perlumbaan. Proses penyelidikan dan pembangunan selama kira-kira dua setengah hingga tiga tahun itu melibatkan kerjasama pasukan teknologi PETRONAS di Kuala Lumpur dengan operasi kejuruteraan Mercedes di Brixworth dan Brackley, sekali gus membuktikan inovasi F1 boleh menghasilkan manfaat yang melangkaui dunia perlumbaan.